Monday, September 03, 2012

Nama Dia Alliyah

Alang-alang sudah berada di Penang gua sepatutnya mengambil kesempatan meneroka apa yang patut. Mana Rapid Penangnya lagi, Lim Guan Eng dan KAMDAR.

Jadi hari ni gua ambil satu keputusan dengan azam yang teguh.

Alang-alang hari Isnin, baik gua merayau ke panggung wayang berdekatan dengan menggunakan student card ye dak?

Berbekalkan baju singkat Paul Smith yang berwarna hijau ni gua mengatur gerak. Kurang sejam gua sampai di tempat kejadian dan membeli tiket wayang Narnia jam 1.15 petang. Untuk menunggu sampai masa tayangan gua pun merayau-rayau ke mana-mana kedai yang berkenaan. Biasalah, naluri window shopping gua masih belum luntur walaupun sudah lama tidak berjumpa kompleks membeli-belah.

Hampir jam 1 gua pun naik eskalator ke tingkat panggung wayang.

Ketika itulah gua nampak dia.

Dari belakang gua perhatikan dia. Gua nampak 3/4 wajah dia dari belakang. Pipi boleh tahan. Kurang tembam banyak jika mahu dibandingkan dengan angel hitam gua. Kulit pula lagi putih dari kawan Yakuza gua.

Dup! Dup! Dup! Dada gua berbunyi.

Adakah ini yang dinamakan cinta?

Gua tak puas hati. Gua kena juga lihat muka dia. Sampai di tingkat atas gua pura-pura buat satu pusingan yang besar semata-mata mahu memandang wajah dia.

Matanya redup ayu. Bibirnya jernih, pink dan lembut. Kulitnya mulus. Dan dia bergerak ke kaunter membeli tiket wayang.

Gua berbisik dalam hati, kalau dia beli Narnia juga mesti dia ada jodoh dengan gua.

Gua masuk dewan menonton mengharapkan dapat melihat wajah dia. Tapi ternyata gua tersilap. Di sebelah gua hanya 3 sekawan yang giat bertutur dalam bahasa Tamil. Gua hampa.

Habis Narnia gua bergerak keluar. Mungkin dia di luar sedang menunggu untuk masuk ke dalam wayang, kata gua untuk motivasi diri.

" Alliyah tunggu! " jerit seorang perempuan free hair memanggil Dia depan gua memecahkan igauan angan-angan gua. Gua terpana.

Gadis itu ada di depan gua sekarang.

Nama dia Alliyah. Bisikku sambil tersenyum puas.

***

Dan bebola merah itu bergolek ke arah dia. Golek, golek dan golek. Sehingga mengenai kakinya.

" Hairan. Hati siapa yang berbentuk seperti bebola dan berada di kaki aku ini? "

Barangkali itu yang diujarkan olehnya diam di dalam hati. Dan pada masa itu juga dia memandang wajahku.

Mata kiri aku bertentang dengan mata kanannya dan mata kanannya bertentang dengan mata kiriku.

Dia menjeling ke arah lohong hitam pada dadaku.

" Ini awak punya? " tanya dia sambil menghulurkan bebola kecil itu padaku.

" Ya. Ambillah, sekarang ia kepunyaan awak. " kata aku sambil tersenyum.

fin.

No comments: