Thursday, June 25, 2015

Paradox!

Keamanan adalah dusta!
Yang ada hanya semangat meronta..

melaluinya kita mendapat tenaga
dari tenaga kita rasa berkuasa
dengan kuasa kita mendapat segalanya
dan dari segalanya membuat kita terleka..

Masa adalah penipuan
yang ada cuma kesabaran!

kerna sabar pemikiran kita terbuka lebar
dari situ kita menimba pengetahuan tanpa jemu
kerna ilmu membuat kita jadi tahu
tahu segala kata mereka dusta menipu
penipuan yang akan kita bongkar satu satu!

Emosi adalah imaginasi cuma!
yang adalah adalah ketenangan saja..

tidak ada yang akan rasa kosong
jika didada punya ilmu berbondong bondong
semangat sahaja tidak berguna
jika cakap melulu sahaja tanpa berfikir waras seadanya
huru hara dalam berbicara tanpa ada harmoni tindak tanduknya
maka matilah segala jiwa jika dikejar hanya dunia.

Wednesday, June 17, 2015

PUISI HARUS JADI SENJATA, BUKAN SEKADAR BERBICARA PERIHAL CINTA

Kata-kata untuk mereka yang kononnya bijaksana.

Nyalakanlah obor, bakar setiap buku,
bakar setiap helaian halaman itu
bakar aksara aksara didalamnya sehingga menjadi abu.

Sedang idea kalis dari obor api mu.

Menyekat serta mengharamkan Idea didalam buku itu,
umpama membuat kami bisu ketika kami perlu bersuara,
membuat kami menjadi tuli ketika kami perlu mendengar,
membuatkan kami buta ketika kami perlu melihat..

atau kata ganti nama lain kamu seperti pembuli,
menyebarkan fahaman dakyah ketakutan serta rampasan idea kuasa.
sedang yang direncana pada idea itu cuma
erti sebenar mengatasi ketakutan
dan menafikan penyalahgunaan kuasa yang digilakan.

Iya, buku-buku itu bahaya.

Seharusnya buku itu menjadi bahaya,

-kerana ia mengandungi idea.

Thursday, June 11, 2015

Tamat

"..Aku tak mahu kehilangan kamu lagi.." bisiknya lagi.

"..dan aku tak mahu kamu hilang dalam rasa ini.." balas aku kembali.

Lantas aku menutup lembaran terakhir buku tersebut.


Tuesday, June 09, 2015

RASA Vol.2

Masih belum puas terisi
ruang rasa yang dulu jurangnya dalam
luas nya tak bisa buat kaki kebas
tingginya melangit tak terperi
untuk dijarah diri

rasa rasa yang makin lama
cambahnya makin cepat dari terasa
sesak semak diruang benak
tak tertanggung buat jiwa senak

rasa rasa yang mengasa
asa asa yang makin lemah rasa
mahu putus mahu bungkam
kerna tak termampu untuk menggumam
kemam naluri yang pinta dipenuhi
dek rasa rasa yang mengasa diri

rasa rasa

masih tak biasa
terbiasa
biasa biasa saja

rasa rasa

pelbagai pancaroba.


hu hu hu hu

JANGAN SERIUS SANGAT

Jauh aku merenung Gotham City di atas apartment aku dalam kegelapan malam, terkebil-kebil mata aku cuba untuk memandang Bandar yang penuh pancaroba. Terasa bangang pun ada sebab menyusahkan anak mata melihat dalam gelap, tapi disebabkan dendam kesumat dan amarah membuak-buak selaku watak penjahat elegen penuh misteri yang klise dalam mana mana filem, aku teruskan jua sesi memandang Gotham City sambil membelai rambut yang ditiup angin sepoi sepoi tak reti bahasa. Semakin  aku asyik merenung, bertubi tubi kenangan lama cuba menyesakkan pemikiran aku..

***Lima belas tahun lepas***

Aku dan Bruce wayne terkocoh kocoh melarikan diri dari ditangkap jaga kilang tempat kitorang selalu melepak usha makwe balik shif malam di pinggiran Gotham City, nasib lah jaga tu perut lebih kurang rikishi, kalau cutting stone cold, mau tidur hospital kami berdua malam tu. Kemudian part yang ni aku lupa, saja je aku intro konon konon nak kasi panjang cerita. Baik lah, terus ke cerita sebenar.

Perkenalan aku dan Bruce wayne bermula saat kami berdua sekelas dalam sesi pengajian di sebuah university swasta tajaan arwah bapak Bruce wayne, minat kami berdua pada bidang sosio kemanusiaan mendorong kami menjadi lebih akrab dan perangai gila gila aku dengan bruce wayne ibarat roti dan kaya berpisah tiada, tapi ibarat kata pepatah orang dulu dulu, sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula suami isteri (tetiba) ia, sedangkan laki bini bergaduh, inikan pula sahabat handai..
Pada ketika ini, semua sebab persengketaan dan kegilaan aku untuk membalas dendam pada Bruce wayne bermula..Selepas habis sesi Konvokesyen kami, Bruce wayne mengadakan Parti di rumah agam beliau, alah yang dekat Batcave tu lah..engkorang kalau tak tau, buang masa je aku cerita ni dekat engkorang..Ketika itu beberapa rakan sepengajian kami dah high, mana tak nya..dengan mabuk susu kocak dan high biskut lobak buatan Alfred, terbaik kot..ya, Alfred..si Tua yang penuh licik!! Entah apa bahan dia letak dalam susu kocak tu..manis manis buah airnya..biskut nya pula rapuh dan rangup sehingga ke serdak serdak terakhir..mmm mmm dap..

Okay, hentikan seketika kegilaan susu kocak dan biskut lobak..mari teruskan dengan cerita dendam kesumat aku ni, ceritanya mudah..selepas berparti dan didorong semangat jiwa muda yang alah pada kelewatan malam, beberapa rakan mencadangkan agar kami bermain poker. Aku bersorak riang, mana kan tidak..obsesi ku pada poker lebih dari lelaki gilakan perempuan..maksud obsesi aku pada poker bukan berjudi semata mata, tapi lebih kepada silap mata dan helah helah mengunakan dek kad ini. Dalam aku kegirangan kerana yakin permainan ini akan menjadi ibu duit kepada aku, Bruce wayne yang kononnya hebat dalam serba serbi mula kerisauan..dalam kotak fikiranya sedang mencatur taktik untuk mengalahkan aku, ia lah..hero kot si Bruce wayne ni, takkan nak kalah pada watak picisan macam aku..mana nak letak air muka beliau nanti..dan mana mungkin francais filem batman akan bertahan sehingga kini ye dak?..okay, senyuman sinis sudah terukir pada bibir si Bruce wayne keparat ni, saat aku mengasingkan kad Joker di celahan pelipat peha..Bruce wayne asyik memerhatikan tingkah aku, akibat daripada tidak keselesaan dek dipandang sedemikian rupa, aku mula berpikiran serong yang menyangkakan Bruce wayne dah gila isim mabuk susu kocak nak try aku, apakah Bruce wayne ini gay?..gerak geri aku mula jadi kucar kacir..selesai mengagihkan kad pada semua pemain..aku meminta izin untuk ke tandas sebentar sebelum memulakan permainan..engkorang Nampak tak betapa sopan santunya aku sampai nak pergi jamban pun mintak izin masa main judi?..bukan apa, aku mula syak wasangka yang Bruce wayne pandang aku semacam sebab dia dapat hidu aku usha kad atau mungkin zip seluar aku tak tutup gamaknya. Selesai ke tandas dan membetulkan zip yang memang aku lupa tutup (malu woi, celaka macam mana si Bruce wayne ni boleh Nampak), aku kembali ke meja perjudian.

Dan ketika inilah segalanya bermula..saat game dimulakan, Bruce wayne terus All in cip yakin menang, eh? Bangsat apa Bruce wayne ni..setahu aku, masa aku kocok kad tadi, aku bagi dia kad macam haram semuanya..Kad terbaik semua dalam tangan aku, ah mungkin si setan ni mabuk susu kocak barangkali dan aku yang tak fikir panjang dan tak jangka apa apa follow je Bruce wayne all in, member member yang lain mula tutup kad dan tarik diri..kini hanya aku dan Bruce sahaja..dia memandang Tajam ke arah aku dan berkata “Kalau Kau menang, mana mana koleksi kereta dekat garaj aku, kau boleh bawak balik, tapi kalau kau kalah..aku nak kau pakai gincu dan celak seminggu, deal??” dengan wajah setenang air dikali beliau berkata, “Okay deal!!” balas aku serius, “woi, apahal serius sangat ni?” pintas Bruce wayne..belum sempat dia sambung kata dan tanpa melihat kad yang ada dalam genggaman aku, rilek je aku bukak kad dan senyum kepada Bruce wayne..dan

SIALLLLLLLL!!! LAHANAT KAU BRUCE WAYNE TUKAR KAD AKU SEMUA DENGAN KAD JOKER!! BABI!!


Ini kisah aku..joker..dan batman, engkau suka berjudi?? Mari kita berjudi dan taruhanya kini pasti kau tak mampu bayar!! Wahahahahaha (Gelak jahat) dan batman..jangan serius sangat.

Thursday, June 04, 2015

RIMA ATAS PUISI

Perihal tentang firaun terabadi jasad beribu tahun
tetapi sifatnya masih berlegar segar merumpun
kesegenap hati manusia-manusia berlakon
Isa tidak mampu melawan cuma mampu mengingatkan
walau terbelah laut merah cuma menenggelamkan
tetapi zarah zarah firaun mengalir di air bertebaran

sehingga kini kita masih terbelenggu
dibelenggu dengan sifatnya si mata satu
namun apa yang kita bisa mampu
cuma berfikir tidak tahu melulu
tindak laku merosak jiwa satu

telunjuk tegak tapi bongkak
jari tengah terpacak kata berontak
harus kepal jemari ajak berasak
lepas genggam nafas sesak

RIMA rimas ramai lemas
ATAS bawah duduk berlengas
PUISI cuma lepas nafsi bebas

apa dicakap sekadar culas
dengar sini jangan malas
terasa jangan cepat panas
awas, sabar nanti kebas
tak terkejar luas
dikendong pun terlepas.

Wednesday, June 03, 2015

Seronok

Merisaukan sesuatu sehingga segalanya terganggu..
masa terus berdetik dan aku menunggu termangu..

Sedangkan pelaku situasi itu,
mengharapkan aku tenang tanpa setuju..
dia melulu, lantas perlu apa aku?

kelihatannya masih mampu bersuara gelak tawa,
kelihatannya dia masih mampu melalui hari seperti biasa..

Adakah dia sedar,
setiap apa yang dilakukannya.

setiap bait kata yang dikeluarkannya
setiap patah madah aksara ditaip oleh dia.
menambah sedikit demi sedikit cuka
membasah jiwa yang terluka.

masih mampu dia melayan karenah manusia manusia??

Jadi, Balasan pada mereka yang tidak mahu berusaha,
melakukan sedikit saja dan mengharapkan segala..
harusnya dibiarkan saja.

Sebab dia tengah bersenang senang dan fikir semua ini akan berakhir.

Bodoh.

iya, ini semua akan berakhir..


DIAM

Bukan bermakna tiada apa hendak dikhabarkan,
bukan tanda tidak tahu apa yang mahu dilakukan..
cuma lebih dari sekadar..

diam.

Bukan tidak mahu peduli,
Bukan aku tak mahu mengerti..
cuma aku sudah semakin..

diam.

Kau boleh lemparkan segala andaian,
kau boleh ambil segala tindakan..
dan tetap aku akan..

diam.

Semakin aku..

diam.

Sejauh mana akan aku..

diam.

Apa mampu aku..

diam.


Dalam diam akan hadir persoalan.
Dalam diam akan jumpa jawapan.

Tetapi dalam diam kau akan sedar..
tentang sesuatu yang benar,
yang selama ini sebenarnya..

diam.

Dan itu sebab aku memilih untuk..

Diam.

Monday, June 01, 2015

Sedar Ruang : Teater Eksprimentasi Stop Motion Puisi Buku Jalanan Waghih - Dongeng Rakyat

jenin dan kaduk aku ayamkan
demi mencapai mimpi dicita
dewasa ini penipu diagungkan
menjadi amalan pembesar kita..
hahahahaha..
Maka termaktub sebuah ceritera lama
perihal si luncai dahulu kala
yang dahulunya seorang yang lepas leka
kini luncai lebih berbisa
dari biasa menjadi luar biasa
yang bisa binasa.
Manis madah dimulut berbicara
menjentik nafsu manusia terleka
dikhabar segala yang indah sahaja
sedang dibalik ada muslihat terahsia
Manusia tersia sia dalam masa
cukup sedikit bahas bahasa
dia lupa segala gala
digula gula mudah sahaja
bodohnya jenin malangnya kaduk
segala kata luncai dibiar mengetuk
pintu hati yang ditutup hijab harta dunia
akal dibobrok tentang kuasa
Manusia itu bodoh dalam pandai
pandai dalam bodoh
yang pandai memperbodoh
yang bodoh memnadai mandai
bebal angkuh bijak angkuh
lucu sekali manusia ini
aduh aduh aduh
lemah iman tidak berpegang pada ajaran
senang syaitan menyimpang jalan
Luncai ini bukannya manusia
bukan juga syaitan bertopengkan kita
tapi luncai ini cerminan perihal manusia zaman berzaman
lebih tepat Melayu yang selama ini kita agung agungkan
Kisah rakyat dibuat hiburan apa jadi pada tauladan??
mana datang pengajaran??
Lucunya telatah manusia
percaya sahaja
jangan diusul periksa
dengar sahaja
jangan betah mencela!
fahamkan sahaja
kerna belajar itu buang masa
anggukkan saja kepala manusia
geleng hanya bila dipaksa terpaksa
apa masih mimpi disulam syair termasyur
sedang kita lena masih berdengkur??
Maka penipuan demi penipuan disumbat dalam pemikiran
buat kita bebal lali tentang kebenaran
yang masih mundur itu kita kita
yang terus maju itu masa
sejarah bakalan berulang
yang berbeda pelaku ulang..
Berapa kali mahu jatuh?
berapa kali mahu mengaduh..
sampai bila mahu dibuai sejarah kehebatan kita
sedang penipu masih kekal diatas sana..
biarkan..biarkan..
hari ini hari dia
esok lusa kita punya
biarkan, biarkan..
sejarah bakal berulang kawan..