Friday, July 31, 2015

Kita perlu ruang bertenang

Kaku termangu
luaran seperti tiada apa berlaku
sedang fikiran celaru
segala perihal asak bertalu
langsung terus buntu
waktu waktu terus berlalu
jasad masih diam membisu
cuba menafsir dengan akal yang satu

dalam masa yang bergerak
diri masih tidak berganjak
dek rasa liar yang mengasak 
membuat diri jadi benak

anak mata liar melihat sekitar ruang
cuba menidentifikasi sedikit peluang
dalam spektrum cahaya yang terkurang
agar kembali terkait fikiran yang terawang.

makin jauh termenung
semakin ligat idealogi bertarung
agar manifestasi tidak canggung
yang dari dulu kau juang tanggung

kembali pada titik mula
kenapa kau terdiam sahaja
apa punca fikiran menjadi lewa
kenapa mengapa dimana siapa
bila bagaimana jadi tanda tanya

pening berpusing terus jadi runsing
terdetik dihalwa hati berdesing
rugi masa hidup terasing
kau paksa diri hidup meruncing

sekarang sedar dalam jurang jangan pincang
erti maksud sebenar makna bertenang
duduk hayati jangan biar resah buat kau mahu pulang
pandang dunia dari segenap luas yang terhidang

kita sebenarnya masih punya banyak peluang.
cuma perlu celik mata sedar ruang.

Jalan jangan goyang.

Manusia yang tidak suka kita
akan terus terusan mencari silap punca kita
dalam segala hal yang mereka rasa
dalam segala tingkah yang kita punya

seiring dengan hidup kita dari sehari ke sehari
sehingga nyawa masih kekal dalam diri
sehingga berdiri tubuh tidak mati
begitu juga dengan parasit parasit ini
yang akan terus kita jumpa lagi dan lagi.

yang akan terus mengecam tindak tanduk
mempersoal segala sehingga kau terduduk
terus mengetuk semangat seumpama tiada lagi hari esok.

saranan aku biarkan..bukan biar tidak berbalasan
tapi itu perihal takdir kehidupan
yang pentingnya apa yang kau lakukan
refleksi saat terima segala kata nista cemuhan
adakah kata kata mereka itu sebenar benar kejadian?
adakah kau lemah hina seperti disangkakan??

tidak bukan? atau iya kau anggukkan?

jika tidak terus mara kehadapan
meskipun pahit kau sendiri punya jalan.
jika sebaliknya pula maka tuju pada perubahan
walau mereka mereka ini mentertawakan.

jangan kau hilang pedoman
atau putus segala pengharapan.
kerna mereka mereka ini tidak ada masa
mendengar segala yang kau keluhkan..

kadangkala..
kita cuma perlu biarkan.

Wayang Sulit - prolog

Melewati tirai lusuh kusam
terpalit beribu kisah silam.

namun birai ini masih kekal terpacak menegak hak..
cuba mengasimilasi dalam masa namun masih tidak berganjak.

ada bahagian yang pernah dipancar gemilau dian.
yang sebelumnya bebayang rancak menari seiring rentak gamelan.

Dalang dibalik tirai menyingkap berbagai cerita
segala apa disampai dalam cereka satira

seperti tangan tangan ghaib
dalang rancak bermain wayang sulit.

menyusun bait-bait prosa tidak berbunga-bunga
namun menjadi  taboo kerna lari dari norma
kerana itu perihal tersurat harus tidak jelas
agar yang tersulit semat rahsia sehabis kemas.
dalang bijak berbahas bahasa sehingga
derai tawa menjadi seling pada cerita berpusing-pusing.

masih menanti jelas perihal tersulit.
namun tersurat kemas sudah terpalit.
tiada jelaskah masih bayang-bayang?
bilang pada tok dalang
pancar dian lagi terang
biar kelir terbakar julang.

Wednesday, July 29, 2015

Dibalik keresahan..

Saat yang paling susah
bila didalam jiwa ada rasa resah
yang tidak berhujung pangkal
buat kita hilang akal.
Entah kenapa
secara tiba-tiba
segala jadi tidak kena
dalam benak tersenak
dek rasa kecewa.

Diam.
sendiri hadam.
cari punca
tiada berjumpa.
saat itu kita makin bingung
tentang hal hal yang entah kenapa
diri mula rasa tersinggung
canggung dalam mencari
punca sebenar resah dihati.

dibalik keresahan.
sebenarnya kita jumpa tuhan..

mana ada orang yang buat salah,
hidup tenang tanpa resah.

kan?

Puncak

susun bait kata.

ta ta tata ta
ta ta tata ta
ta ta tata ta

nada ikut rentak

teratak tak
teratak tak
teratak tak

Sekarang ulang
berulang

tempo perlu jaga
biar sedap didengar halwa.

wa wa wa wawa
wa wa wa wawa

Sekarang layan sebuah irama.
faham segala lirik bermakna.
musik ini eskapisma sementara
cukup sebentar untuk membuka minda.

dada da da
dada da da
dada da da

Gerakkan segala sendi,
jika perlu ayuh berdiri.
Bayang kita sedang mendaki,
langkah kecil tidak berlari..

sedikit berdikit lepas segala
hayati keindahan flora fauna
segar udara penuhi rongga
tarik dalam lepas lega.

Itu..semakin dekat cepat!
aku sudah nampak cahaya disana..
Kini dipuncak tanpa sesiapa.
jerit sekuat biar bergema!!!!!

Puisi psikedelik

Kau umpama bulan terang dilewat malam,
Sedang terang siang kau menjadi kelam.

sinestesia prosa menghasil metafora
buat indera kepada indera yang lainnya.

Bak haruman kopi panas meruap wangi.
semanis buah melekat pada resepsi lidah ini.

Sehingga aku berada dalam jaga psikosis
hati mengahalusinasi arti waham terdiagnosis

jiwa menjadi kacau, sempit, bias dalam mengenal diri.
mencari ruang bertenang antara realiti serta fantasi.

Daya aku menjadi berat merencana peihal tersurat.
Asa-asa aku bercelaru memikir perihal yang tersirat.

Intonasi serta menifestasi menjadi lawan
kepada rakan yang berada dalam lingkungan..

Dalam sedar aku pudar,
mistikal minda bawah sedar.

kebas kejung segala sensorik
saat kerlingan mata serta senyuman kamu melirik.



Tuesday, July 28, 2015

Wayang Sulit - Intro


Kelir disiram limpahan dian
disulam dengan bunyian gamelan
dibalik bayang dari belulang
suara bergema jerit tok dalang
nayaga dan tembang mengetuk rentak
satu persatu belulang dipacak.

Sulit dalam erti yang kita fahami, adalah hal-hal yang terahsia..
sedang sulit yang kata makna lainnya pula, adalah kesukaran serta kesusahan.

Sesulit hal terahsia, sesulit juga hidup manusia. wayang yang didendang dari tangan-tangan dalang,
menjadikan kita seperti bayang-bayang belulang.

wayang gedek jadi sajian
penyampai cerita sekadar rekaan.
Sesulit kehidupan bak prosa puisi
sesulit penerangan hendak memahami.
Dibalik kelir tok dalang sembunyi
bersama belulang dibiar tari.

Setiap keesokkan harinya umpama lagu lagu baru
yang tidak habis-habis dimainkan oleh tembang serta nayaga.

Kita dibiar hanyut dalam irama gamelan yang mengasyikkan.
kita dimadah dengan kata-kata berhelah yang tok dalang syairkan.

Tersulam indah kata bermadah,
disaji indah meskipun tohmah,
mengangguk kita seperti erti,
ketawa kita kerna geli hati.
dibalik tirai, tok dalang masih menari.
gamelan semakin rancak berbunyi.

cerita yang sebenarnya kita tidak mengerti, yang kononnya mitos lagenda paling misteri..

Friday, July 24, 2015

Tepuk biar ramai

Hentak kaki ke lantai,
bunyi biar padu,
tepuk tangan santai,
kita bikin lagu..

lirik biar manis,
irama nan gembira,
dengar sampai habis,
menyanyi ada makna..


bersorak sekalian!!
ayuh kawan-kawan,
kita raikan kemenangan,
jangan diratap segala kepayahan,
jangan pula angkuh dengan kejayaan,
takut pula dibuta kemegahan,
jadi bersyukur  kita menadah tangan,
pinta tulus doa pada Ya Tuhan
dengan segala apa yang diberikan
agar kita  tak lupa jalan kebenaran..

Awas!! awas..
jangan cepat puas!
kasihan pada jiwa tertewas,
yang sudah kalah terjelupuk jatuh dihempas,
mereka magsa-mangsa yang ditindas tertindas,
hidup untuk esok tergapai-gapai lemas,
dek korupsi diatas dek diktator yang buas
dengan sistem hidup yang culas
sedang kaki hendak lari tak lepas..

Maka hayati erti sebenar!
sifat menang hanya sebentar,
sedang roda dunia terus berputar,
jalan yang kita lalui bukan mendatar,
jangan terus cakap berdegar degar
kerna pemerhati sedang berlegar
menunggu masa menampar
dengan erti maksud karma sebenar.


Wednesday, July 22, 2015

Anggap aku selipar yang hilang sebelah. Mudah.

Iya.

Mudah sebenarnya.
anggap aku selipar yang hilang sebelah.
Meski dahulu cantik mahal harganya.

tapi disetiap langkah kau sarung bawa.
kerikil batu turap aku hadap.
cecair lumpur lekit aku hinggap.
sejijik jijik najis aku terhempap.

namun tetap kau pakai sedap.

Anggap terus aku selipar yang hilang sebelah.

Pakai selagi aku belum haus,
meski terkadang genggaman ku putus,
terlucut dari kaki kerna deras langkah kau susun.
tertinggal saat letak ku dikerumun.

namun tetap aku disudut itu.

Aku menampung kau.
Menjunjung kau.
mana pernah berbicara aku pada selipar lainnya.
apa segala aku ini kau bawa ke mana hala.
aku diam, terus diam tidak mahu bilang.
sebab itu aku hilang.

agar aku tidak berbicara semula.
agar tidak ada berita selipar hinggap dimuka.

baca yang sebelumnya..yang sudah tu, sudah.
malas aku mahu bercerita balik. penatlah.

Noktah.

Jangan menyibuk.
yang sudah itu sudah.

apa pada kau belum jumpa penyudah?
apa perlu diludah?
apa perlu bergulung warkah?
agar kau sedar yang sudah itu ertinya noktah.

.

Cari

Cuba
alami
rasai
intuisi.

cari apa?
saat terang memang tak jumpa.
saat gelap masih teraba..

cari apa?
saat memerlukan sahaja?
ketika waktu genting pun iya..

carilah..
tergesa-gesa..
mulut saja bersuara..

walhal benda itu ada.
kadang depan mata,
kadang sebelah saja,
kadang dimana-mana..

Cari sebab mahu alami.
Cari sebab mahu rasai.
cari sebab lahir dari intuisi..

agar menjadi resmi sebaris manusia manusia kini?

carilah..teruskan. kau memang takkan jumpa malah ia makin tersembunyi.

Cari ketika tidak perlu..ketika kau paling tidak mahu.
cari ketika kau tidak ada rasa apa-apa, ketika bukan hati kau yang berbicara..

Maka kau akan tahu.

Perihal Masa hadapan yang bukan milik kita.

Tentang masa hadapan yang kata orang misteri,
semestinya kerana ia belum terjadi.

Tentang masa silam yang kata orang berbalam kelam,
semestinya kerana ia sudah terjalin sulam.

Tentang masa sekarang yang kata orang kencang.
semestinya kerana ia berlaku sekarang..

ia sekarang,
seiring detik masa kau habis membaca setiap pangkal aksara.

Masa terus berlalu tanpa kau tidak tahu.
Apa akan berlaku selepas itu.

Kau mungkin faham apa cuba disampai aku,
belum tentu kau sampai kemana yang mahu aku tuju..

Perihal masa hadapan yang bukan milik kita,
perihal masa silam yang sudah kita lupa,
perihal masa sekarang yang kita masih berkira.

Terus apa kau berfikir perihal masa depan yang belum tentu
sedang daya asa kau asik mengenang kisah dahulu?
sedang dibalik tirai masa-masa sekarang ada manusia yang kau biar terbuang?
ada benda kau biar terluang? ada perihal yang kau lupa bilang?

sibuk bercerita akan datang, akan datang itu akan maka ianya pasti datang,
namun belum tentu semua kau mahu terhidang jika dikepala cuma diulang-ulang masa yang telah hilang.


SEKARANG! setiap masa terus berlalu, kau masih disitu termangu buntu.

sedih bukan, yang kita fikir imaginasi, realiti paling kejam. Tetapi sebenarnya tidak. Masa itu setajam-tajam bisa kerat kata kata manusia, boleh cincang segala benda didalam dunia.

Bila-bila masa.

Yakinkah kau akan kecap nikmat masa datang? yang mana satu kau akan jumpa dahulu?
maut? jodoh?..tenang, jangan mengaduh..tidak ada istilah terlambat atau belum tiba waktu.

kerna janji maut itu pasti. Tidak terawal atau terlewat..ianya mesti.

Sebelum masa itu..

Rancang sebaik-baik rancangan manusia.
Fikir sepandai-pandai kehidupan yang punya akal.
Rasa sedalam-dalam jiwa yang ada perasaan.

Rancang kau tidak akan berlaku.
Fikir putus kau itu belum tentu.
Rasa kau semua masih belum tahu

Rancang kau hanya illusi kesan depresi,
Fikir kau antidot pada wabak realiti,
Rasa kau stimulasi pada jiwa-jiwa sunyi.

Rancang kau mungkin ada dua-tiga,
Fikir kau pasti ada jalan yang berbeda,
Rasa kau semua pasti akan baik-baik saja.

tidak.

Rancang perlu berfikir sebelum hadir rasa.
Bukan Rasa perlu berfikir untuk merancang.
Bukan Berfikir perancangan ketika terasa.

Dahulukan mana yang dahulu sebelum masa tiba.

Rancang agar diri sendiri tidak pincang.
Fikir akan diri sendiri agar tidak fakir.
Rasa diri sendiri agar tidak binasa.



Thursday, July 02, 2015

ERTI

Aku menyusun sebaris aksara menjadi susunan kata,
membentuk sebuah prosa yang kelak punya rupa.

Pada setiap bait baris itu, mungkin berlagu,
yang penting punya maksud tertentu..

dalam prosa itu aku cuba menerangkan sebuah rasa
tentang bahagia yang kita cipta..

tapi terhapus oleh kisah hujan semalam,
yang datang tanpa ramal alam.

Sesudah hujan pasti tenang,
tapi kelopak air masih bergenang..

Apa tidak tersejat bait bait kata
yang pernah aku tabur siram setiap masa?

sudah-sudahlah. hari tetap berganti,
pinta ku cuma kau lupa pada kisah ini.

Biar aku sendiri erti mengapa.
usah terus kau bertanya.

RAMADHAN JANGAN PERGI #1

"..Adik, kalau tahun ni adik dapat puasa penuh, nanti ibu bagi upah 30 ringgit, haa..suka tak?.." kata ibu sambil melipat baju.

"eh betul ke ni bu?? wah, kalau macam tu, hari-hari puasa pun takpe..hari-hari adik dapat duit!!" adik yang sedari tadi ralit menonton tv kelihatan gembira.

"eleh, kau tu ye ye je dik..karang belum tengahari dah sembunyi sembunyi masuk dapur!" along menyelit.


**********

"Ibu bangun!! ibuuuu..bangun!!" adik sedaya upaya meronta untuk mengejutkan ibu.

segalanya pantas berlaku.

Ibu sempat menolak adik ke bahu jalan sebelum dirempuh kereta yang datang dari arah bertentangan..


"Ibu, adik minta maaf..salah adik!"

"Ibu bangunlah, adik janji adik puasa selalu, ibu tak payah bagi upah pun takpe, adik taknak ibu pergi.."

***********

Adik terjaga lebih kurang jam sebelas, dilihat rumah sunyi sepi..perut adik terasa lapar, sembunyi-sembunyi dia ke dapur..

Ibu baru balik dari kedai membeli barang, dia nampak adik makan.